Turki Klasik Hari ke 1. Kuala Lumpur - Istanbul
Bulan Mac 2015, saya sekali lagi mengetuai kumpulan 30 orang Kembara Ilmu dan Amal ke Turki. Ianya merupakan kenangan yang tidak mungkin akan dilupakan atas sebab-sebab yang saya rasa tak perlu dikongsikan di sini. Selama 8 hari 7 malam kami di bumi Turki mengikuti perjalanan yang telah ditetapkan itinerarinya sebagai Turki Klasik yang telah dirangka dengan penuh teliti oleh Al-Ilmi Travel and Tours Sdn Bhd. dan rakan niaga di Turki.
Sesampai kami ke Airport Istanbul, hari sudah lewat petang, kami terus dibawa ke Bursa, sebuah bandar pentadbiran peninggalan Kerajaan Uthmaniyyah sebelum ianya berpindah ke Istanbul. Kami bermalam satu malam di situ. Hari ke dua kami telah dibawa ke Pamukkale, merupakan teres air panas yang terbentuk dari batu kapur berwarna putih bersama tinggalan runtuhan binaan Pemerintah Rom dan Yunani, dan kami bermalam di situ satu malam. Dari Pamukkale kami ke Aksehir, kemudian singgah di Konya dan seterusnya ke Caravanserai Sultanhani sebelum tiba ke Cappadocia. Cappadocia merupakan sebuah bandar yang terkenal dengan gua-gua yang pernah dijadikan penempatan satu ketika dulu. Kami bermalam 2 malam di Cappadocia. Kemudian perjalanan diteruskan ke Salt Lake dan seterusnya berhenti di Ankara, Ibu Kota Turki untuk melawat makam Bapa Turki Moden - Mustafa Kamal At-Taturk. Seterusnya kami ke Bolu dan bermalam di sana. Keesokannya kami teruskan perjalanan ke Istanbul dan 2 malam yang terakhir kami di Istanbul, sebelum bertolak balik ke Malaysia.
Turki Klasik Hari ke 2. Bursa
Kami tiba di Bursa sudah malam, selepas makan malam di hotel, kami terus checkin dan bermalam di Bursa.
Ulu Cami (Masjid Besar) dan Yelsi Cami (Masjid Hijau dan Makam Hijau)

Pintu hadapan Masjid Jamik Besar Bursa, Ulucami
Awal pagi selepas breakfast di Hotel, kami dibawa melawat Masjid Ulucami (Masjid Besar). Masjid yang mempunyai sejarah yg panjang dibina sebagai menebus niat Sultan Uthmaniyyah pada waktu itu yang memenangi perang. Setelah melawat Masjid Ulucami, kami dibawa melawat ke Masjid Hijau.

Masjid Hijau, Yelsi Cami
Masjid hijau pernah menjadi tempat dimana urusan pentadbiran Kerajaan Uthmaniyyah dijalankan. Disini kita melihat bagaimana peranan Masjid sebagai pusat pentadbiran Kerajaan telah dilaksanakan sebagaimana yg pernah dilaksanakan oleh RasulAllah saw. Makam hijau ialah makam keluarga Sultan Mehmet I terletak diatas bukit kecil tidak jauh dari Masjid Hijau. Lawatan kami kesini telah disempurnakan dengan bacaan Al-Quran surah ArRahmaan oleh Pak Bilal Masjid.
Bursa (dari bahasa Yunani "Prusa") menjadi ibu kota utama pertama awal Empayar Uthmaniyyah berikutan penawanannya daripada kerajaan Byzantine pada tahun 1326. Bandar ini menyaksikan sejumlah besar pembesaran sepanjang abad ke-14.
Selepas menakluki Edirne (Adrianople) di Timur Thrace, Uthmaniyyah mengubahnya menjadi ibu kota yang baru pada tahun 1363, tetapi Bursa terus mengekalkan kepentingan rohani dan komersialnya dalam Empayar Uthmaniyyah. Sultan Uthmaniyyah Bayezid I membina Bayezid Külliyesi (kompleks teologi Bayezid I) di Bursa antara 1390 dan 1395 dan Ulu Cami (Masjid Besar) antara 1396 dan 1400.
Selepas Bayezid dikalahkan dalam Pertempuran Ankara oleh tentera Timur pada tahun 1402, cucunya, Muhammad Sultan Mirza, telah merompak dan membakar kota itu. Walaupun begitu, Bursa terus kekal sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan yang paling penting dalam empayar sehingga Mehmed II (Muhammad Al-Fatih) menakluk Constantinople pada tahun 1453.
Semasa zaman Uthmaniyyah, Bursa terus menjadi sumber pengeluaran kebanyakan produk sutera diraja. Selain daripada pengeluaran sutera tempatan, bandar ini mengimport sutera mentah dari Iran, dan juga dari China, dan merupakan pusat pengeluaran utama untuk kaftan, bantal, sulaman dan produk sutera lain untuk istana Uthmaniyyah sehingga abad ke-17.
Oleh kerana ia merupakan hab budaya dan perdagangan yang penting, para pedagang, yang kebanyakannya adalah orang Armenia, telah menjadi sangat kaya. Bagaimanapun, warisan pelbagai budaya di Bursa ini hampir berakhir kerana peristiwa yang berlaku dari tahun 1895 hingga 1925, iaitu pembunuhan beramai-ramai etnik Hamidian, pembunuhan beramai-ramai etnik Armenia, dan juga proses pertukaran penduduk dimana penduduk Islam minoriti dari negara lain seperti greece dipindahkan ke sini manakala penduduk Kristian dari Turki telah dipindahkan ke Greece.
Bursa - Silk House
Bursa mempunyai sejarah yg lama semenjak 2700 tahun dahulu. Ianya merupakan permulaan laluan sutera (silk road) di sebelah Barat, sebagaimana Xian merupakan permulaan laluan sutera di sebelah Timur. Jadi tidak hairanlah apabila kita dapat melihat produk-produk sutera dan porcelain tempatan. Disini teknologi yg mulanya berasal dari China telah digunakan dan apabila diadun dengan kehalusan seni orang Turki, ianya telah menghasilkan produk2 sutera dan porcelain yang amat unik.

Silk House di Bursa
Perkampungan Tradisional Uthmaniyyah - CumaliKizik
Setelah melawat Masjid, kami telah dibawa ke CumaliKizik, dimana ianya merupakan perkampungan tradisional zaman Uthmaniyyah yg masih kekal sehingga sekarang. Kampung ini selalu digunakan untuk penggambaran filem-filem yang berkait dengan Uthmaniyyah. Ianya dikatakan sebuah perkampungan Islam yg pertama membuat solat fardhu Jumaat setelah kejatuhan kerajaan Byzantine.
Kiranya ada lagi tempat di wilayah Bursa yang kalau diberi peluang untuk melawat, saya rasakan ianya mungkin Nicea (Iznik), dimana ianya merupakan perkampungan ditepi tasik dimana pertemuan bersejarah yang menjadikan agama Kristian di dunia sekarang menerima pakai konsep ketuhanan Triniti berbeza dgn konsep asal ketuhanan agama itu yg berkonsepkan Tauhid sebagaimana agama Yahudi dan juga Islam.
Selepas lawatan ke CumaliKizik menjelang tengahari, kami teruskan perjalanan ke Pamukkale. Kami sampai ke Pamukkale, menjelang malam dan terus checkin hotel di situ. Malam ke dua kami di Pamukkale.

Perkampungan Uthmaniyyah - CumaliKizik
Turki Klasik Hari ke 3. Pamukkale
Pamukkale berarti Kota Kapas (cotton castle) dalam bahasa Turki. Pamukkale terkenal dengan kolam air panas, batu-batu karbonat, teres-teres karbonat yang ditinggalkan sebagai mendapan dari air sungai yg mengalir melintasi teres-teres ditebing bukit itu.

Pamukkale - Cotton Castle - Istana Kapas
Berhampiran Pamukkale, merupakan tinggalan binaan bandar purba Yunani-Rom (Greco-Roman) dan Bizantyn iaitu Hieropolis. Sekiranya anda ingin merasakan pengalaman berenang di dalam kolam yang dipenuhi dengan runtuhan tiang roman di sinilah tempatnya.

Berenang bersama runtuhan tiang Rom di sebahgian kompleks Hieropolis

Sebuah panggung coliseum, sebahgian runtuhan kompleks bandar Greeco-Rom, Hieropolis di Pamukkale
Awal pagi sebaik lepas breakfast dalam jam 7.30 pagi, kami terus checkout dan terus ke tapak bersejarah Pamukkale dan Hieropolis. Dalam jam 9.15 pagi, kami telah berada dalam perjalanan ke Cappadocia.
PERJALANAN DARI PAMUKKALE KE CAPPADOCIA mengambil masa agak lama, kira-kira tujuh jam perjalanan. Kami telah singgah di beberapa tempat iaitu di Aksehir, Konya dan Caravanserai Sultanhani.
Lunch di perkampungan asal pelawak terkenal Nasaruddin Hujja - Aksehir.
Perjalanan kami dari jam 9.15am berhenti di Restoran Ozkan di Aksehir untuk makan tengahari jam 2pm. Kami sempurnakan solat jamak zohor dan asar disini. Aksehir ialah bandar tempat asalnya Nasaruddin Hujja yang terkenal dizaman Uthmaniyyah dengan cerita-cerita lucu pendeknya.
Sepanjang jalan kami dapat melihat pemandangan menarik dimana sebahgian bukit dan banjaran pergunungannya masih lagi ada diliputi salji. Salji-salji ini dikatakan akan cair sepenuhnya menjelang bulan april. Perjalanan di teruskan, dan perhentian kami seterusnya ialah di Konya.
Makam Maulana AlRumi di Konya - merupakan sebuah pondok tarikat yg diasaskan oleh AlRumi yg membawa aliran Islam yang mengutamakan keamanan dan perdamaian. Beliau dikatakan seorang ulamak beraliran Maturidi. Banyak kata-katanya yang masyur diterima pakai dan tersebar bukan setakat dikalangan umat Islam tetapi diterima oleh ramai orang Barat yang menyebarkannya ke seluruh dunia. Di sinilah bermulanya tarian Darwish dimana sipenari akan menari dalam kedudukan berpusing-pusing dengan kedua tangan pada mulanya memeluk dada tetapi kemudiannya dibuka perlahan-lahan seolah kedudukan seseorang yg berserah diri kepada khaliknya. Tarian Darwish sekarang menjadi tarikan kepada pelancung dan ianya telah dikomersialkan sebegitu rupa sehingga setiap bandar-bandar besar di Turki mempunyai tempat tarian itu dipersembahkan.

Dihadapan kompleks makam Al-Rumi
Caravanserai Sultanhani - Gambar di bawah ialah Caravanserai Sultanhani yang terletak di Sultanhani di pinggiran Lebuhraya Aksarai yang menyambungkan Pamukale ke Cappadocia. Ianya dibina pada tahun 1229. Sultanhani berada di jalan Sutra satu ketika dahulu.

Pintu hadapan Caravanserai Sultanhani
Caravanserai ialah hotel-hotel yang terletak di laluan sutera. Rombongan Pedagang (caravan) akan diberi perlindungan pada waktu malam mereka bermalam disini. Caravanserai yg dibina oleh Aladdin, sultan Seljuk pada abad ke 13 bukan sahaja memberi perlindungan percuma kepada pedagang yang bermalam di sini, pedagang juga disediakan dengan insuran kalau barang mereka dirompak, ianya akan diganti oleh Sultan (kerajaan). Caravanserai ialah rumah tumpangan atau hotel di tepi jalan di mana pengembara boleh berehat dan memulihkan diri dari perjalanan hari itu. Caravanserai dibina disepanjang aliran pertukaran perdagangan, maklumat dan manusia. Ianya merentasi rangkaian laluan perdagangan yang meliputi benua Asia, Afrika Utara dan Eropah Tenggara, terutamanya di sepanjang Jalan Sutera semasa zaman pertengahan.
Kira-kira jam 7pm perjalanan kami berhenti di Caravanserai Aksarai Sultanhani. Kami bertolak dari Aksarai dalam jam 7.30 pm dan selamat sampai ke hotel kami di Cappadocia jam 8.15pm. Kami terus saja makan malam sebelum naik kebilik sebab esok ada 14 orang antara kami yang akan memulakan pergerakan seawal jam 5.15am untuk ke lokasi belon panas. Mereka In Syaa Allah akan selamat naik dan turun dari belon panas untuk menyaksikan pemandangan indah Cappadocia dari atas belon.
Turki Klasik Hari ke 4: Cappadocia
Cappadocia yang terletak di kawasan tengah Turki yang dipenuhi dengan bentuk rupabumi menarik - lembah, bukit, canyon dan batu-batu yang berbentuk luarbiasa. Rupabumi ini terbentuk dari hasil beribu tahun hakisan hujan dan angin. Lembah diselaputi lava yang mengeras menjadi batu diantara pergunungan berapi Erciyes, Melendiz dan Hasan disamping tinggalan permaustatin gua yang membuat lubang-lubang di kawasan batu. Mereka juga menggali lorong-lorong bawah tanah dan hari ini menampilkan sesuatu yang menjadi produk yang cukup menarik pelancung-pelancong kesini.

Bergambar bersama penjual buah di sebuah perkampungan gua, di Cappadocia
Pergunungan Berapi itu aktif dizaman purba sehingga dua juta tahun yang lalu. Satu lapisan batu lembut, tebal sedalam 150m terbentuk dari lava yang dikeluarkan oleh gunung-gunung berapi berhampiran.
Kaymakli Bandar Bawah Tanah (Underground City)
Pagi hari ke empat, selepas breakfast pagi di hotel, kami dibawa ke bandar yang sejarahnya dikatakan 8 abad sebelum masihi. Kaymakli ialah satu kompleks terowong dan kediaman bawah tanah yang kawasannya meliputi keluasan berbatu-batu jauhnya.
Kerajaan Cappadocia telah ditubuhkan pada tahun 332 S.M. Semasa tekanan kerajaan Rom keatas umat Nasrani (Kristian), bandar-bandar bawah tanah Cappadocia dijadikan tempat perlindungan mereka. Apa yang menarik disini ialah gereja-gereja awal Kristian mereka masih tidak menggunakan lambang salib. Kebanyakan gereja menggunakan lambang salib selepas terjadinya peristiwa persidangan Majlis Nicea.
Bandar ini didiami oleh penduduk asalnya yang telahpun beragama Kristian sejak sebelum agama Kristian diterima sebagai agama rasmi Rom. Diwaktu berada dibawah empayar Byzantin (Rom) mereka telah mendapat perlindungan dan layanan yang istimewa. Sewaktu peperangan diantara Byzantin dan orang-orang Islam Arab, bandar ini digunakan untuk melindungi orang-orang Kristian dari serangan tersebut disekitar tahun 800-1000 Masehi. Kemudiannya ia juga jadi perlindungan dari serangan Mongol diabad ke 14. Kemudian di waktu pemerintahan Uthmaniyyah, kompleks ini juga digunakan oleh orang-orang Kristian untuk berlindung dari serangan tentera Uthmaniyyah.

Ruangan di dalam bandar bawah tanah Kaymakli
Goreme Open Air Museum atau Monk Valley
Selepas lunch, solat dan lawatan ke emporium batu permata, kami telah dibawa ke Gerome Open Air Museum. Gerome ialah kompleks peninggalan penempatan institusi latihan Kristian (monastery) sebagaimana institusi pondok untuk umat Islam di Asia Tenggara. Cuma, keistimewaan Gerome, ianya adalah penempatan didalam gua-gua yang dikorek dari batu-batu seakan cerombong asap (chimney) yg terbentuk secara semulajadi dari lapisan tanah larva gunung berapi yang terbentuk beribu tahun dahulu. Disini satu ketika dulu, padri dan nun telah menerima latihan mereka. Ada banyak gereja-gereja kecil dalam kompleks ini.
Pada perang dunia pertama iaitu ditahun 1923, satu pertukaran besar-besaran telah dilakukan didalam sejarah bilamana umat Kristian dibawah Sultan Uthmaniyyah telah ditukarkan dengan Umat Islam di Greece. Maksudnya kesemua umat Kristian di Turki diarah berpindah ke Greece, manakala umat Islam di Greece diarah berpindah ke Turki. Ini untuk mengelakkan berlakunya pembunuhan besar-besaran atas nama ugama. Apa yang ada hari ini ialah peninggalan tamadun mereka yang membina kehidupan di gua-gua yang menjadi tarikan pelancong ke sini.

Di hadapan pintu masuk Monk Valley
Hari ini Cappadocia juga terkenal dengan belon-belon gergasi warna-warni yang berlepas selepas waktu fajar setiap hari. Bentuk rupa bumi cappadocia yang unik telah menjadikan perusahaan belon udara gergasi sebagai perusahaan yang menarik ramai orang. Selalunya belon berlepas di waktu fajar, dan selama satu jam anda di udara, anda berpeluang menyaksikan rupabumi cappadocia yang indah itu di waktu terbitnya matahari.

Pemandangan dari atas belon udara panas Cappadocia ketika terbit matahari.
Pemandangan Cappadocia yang unik yg terdiri dari cerombong batu-batu dalam kepelbagaian bentuk dan penempatan yg dibuat dengan cara mengorek cerombong-cerombong tersebut, termasuklah juga dinding cerun pergunungan semestinya merupakan satu panorama yg amat menarik apabila dilihat dari tempat yang lebih tinggi. Ada beberapa perhentian yang boleh kita berhenti di kawasan yg lebih tinggi untuk kita melihat panorama tersebut. Cuma kalau kita ingin melihat dengan lebih jauh, yang terbaik ialah dengan menaiki belon panas yg berlepas saban pagi dan petang hampir setiap hari dimusim-musim tertentu.
Perhentian terakhir kami sebelum balik ke hotel ialah Kota Ukisyar. Ianya adalah sebuah Kota yg digunakan sebagai pos tentera semasa pemerintahan Uthmaniyyah.

Bergambar di hadapan Kota Ukishar
Turki Klasik Hari ke 5: Cappadocia, Ankara dan Bolu.
Seawal pagi sebaik selepas sarapan, kami telah memulakan perjalanan ke Ankara. Kami sempat singgah di Salt Lake, sebuah tasik air masin dimana perusahaan pengumpulan garam dilaksanakan.

Pemandangan di Salt Lake, satu perhentian dalam perjalanan dari Cappadocia ke Ankara
Ankara Anitkabir - Kompleks Makam Mustafa Kamal At Taturk.
Mustafa Kamal At Taturk ialah Bapa Turki Moden. Berasal dari Bitola, Macedonia semasa Macedonia dibawah pemerintahan Uthmaniyyah. Nama beliau mula dikenali di Turki apabila beliau memenangi peperangan di Gallipoli. Peperangan ini cukup bermakna kepada rakyat Turki, kerana kemenangan ini yg kekalkan Turki utk tidak dijajah hingga ke hari ini.
Tentera bersekutu yg diketuai British, menjangka akan dapat menawan Istanbul dalam tempoh seminggu. Tetapi peperangan di Gallipoli telah memakan masa lebih 3 minggu dan banyak kematian yg berlaku di kedua belah pihak. Akhirnya tentera bersekutu telah berundur.

Anitkabir - Makam Mustafa Kamal Ataturk
Apakah Mustafa Kamal Ataturk seorang Negarawan atau Pengkhianat, ada saya bincangkan didalam pos saya sebelum ini.
Dari Ankara ke Bolu
Jam 4.30pm kami selesai melawat Anitkabir di Ankara, ada beberapa orang peserta kami memohon untuk ke ATM dan kedai Farmasi. Kira-kira jam 5pm kami memulakan perjalanan ke Bolu, kami singgah sebentar di Masjid semasa masih di Ankara untuk solat jamak taakhir Asar-Zohor.
Perjalanan ke Bolu ialah Highway diantara Ankara ke Istanbul. Pemandangan agak menarik bagi kita rakyat Malaysia sebab pergunungan yang diseliputi salji bukanlah perkara yang biasa kita lihat.
Pemandu Pelancung dengan Driver kami, Mesut dan Ismail bermurah hati, berhenti di satu RnR yang diseliputi salji untuk kami bermain sailji dan pekena teh epal panas. Setelah setengah jam bermain salji, masing-masing telah pun menggigil, kami meneruskan perjalanan ke Bolu. Di Bolu kami menginap di Koru Hotel, sebelum naik ke bilik, dinner sudahpun disediakan. Kira-kira jam 9 malam, semua sudah berada di bilik masing-masing. Puas hati bermain salji, tidur kami lena sambil mengimpikan suasana di Istanbul yg mana kami akan bertolak kesana jam 7.00am pagi esok.

Sempat bermain salji di sebuah RnR dalam perjalanan dari Ankara ke Bolu
Turki Klasik Hari ke 6: Dari Bolu ke Istanbul.
Hotel Koru di Bolu pada bulan lepas diliputi salji yg tebal, tapi sekarang salji sudah mula mencair. Walaubagaimanapun di persekitaran Hotel Koru, pemandangan agak menarik, dan pagi ini ada butir-butir salji yg turun perlahan-lahan ke bumi bolu mengiringi perjalanan kami ke Istanbul.

Bersama anakanda Sabrina semasa berhenti di RnR dalam perjalanan dari Bolu ke Istanbul.
Kami bertolak jam 7am dari Bolu dan dalam jam 8.30am kami berhenti di RnR untuk ke tandas atau pekena kopi atau teh panas. Perjalanan kami diteruskan ke Istanbul dan dalam kira-kira jam 10 kami sudah memasuki Kota Istanbul. Perjalanan ini melalui Istanbul di sebelah Asia melintasi selat Bosphorus melalui Jambatan Bosphorus. Jambatan ini adalah jambatan yang pertama dibina melintasi selat bosphorus dan ianya dibina tahun 1970 dan disapkan pada tahun 1973.
Disebelah Eropah, selepas jambatan kami mula memasuki kawasan bandar baru Moden Istanbul sebelum kami melintasi jambatan Galacta untuk ke Bandar Lama yg bersejarah. Disitu kami berhenti untuk melawat beberapa buah Mesjid menarik dan juga Pasar Rempah (Spice Market).
Mulanya kami berhenti di Masjid Rustem Pasa Camii dan seterusnya kami ke Spice Market, sebelum lunch di restoran berhampiran dengan Spice Market di kawasan perbandaran Eminonu ini.

Masjid Rustem Pasha berdiri megah dihadapan jambatan Galata yang menghubungkan perbandaran Eminonu ke Galata.
Selepas lunch kami telah dibawa ke Masjid Suleiman, sebuah Masjid yg besar berdiri gah diatas bukit menghadapi ke perbandaran Eminonu dan Golden Horn. Masjid ini didirikan pada tahun 1550 atas perintah Sultan Süleyman I dan dirancang oleh arkitek diraja Uthmaniyyah, Mimar Sinan, yang kemudian diresmikan pada tahun 1557 berdasarkan rekod yang tertulis. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Istanbul dari zaman kemegahan kesultanan Uthmaniyyah di Istanbul sehinggalah terbinanya Masjid Camlica oleh Presiden Erdogan ditahun 2019. Pemandangan Kota Lama Istanbul di tengah-tengah sungai dan selat, terlihat begitu menakjubkan dari masjid ini.

Memasuki Masjid Sulaiman Istanbul, kami tunaikan solak jamak Asar dan Zohor di sini.
Kemudiannya kami bertolak untuk menziarahi maqam Ayub Al Ansari. Seorang sahabat nabi golongan ansar yg mana rumahnya merupakan tempat unta Rasulallah s.a.w berhenti semasa peristiwa untuk membina masjid pertama umat Islam di Madinah. Sahabat ini mati didalam peperangan semasa cubaan untuk menawan kota constatinople dari kerajaan Byzantin atau Rom Timur. Setelah itu kami dibawa menyaksikan pertunjukan fesyen dari barangan kulit. Terdapat banyak pilihan jaket-jaket kulit yang menarik yang memenuhi citarasa peminat fesyen dari pelbagai pelosok dunia. Setelah itu kami dibawa untuk dinner dan terus checkin ke hotel untuk malam pertama kami di Istanbul.

Masjid Ayub Al Ansari
Turki Klasik Hari ke 7: Istanbul
Selepas sarapan disebelah pagi, kami dibawa melawat Hagia Sophia, sebuah bangunan bersejarah yg dibina maharaja Constantine, merupakan sebuah gereja diabad 6M. Semasa siapnya bangunan ini diceritakan bahawa, maharaja Constantine telah menyebut "I had surpassed you O Solomon", yg bermaksud kehebatan binaan Hagia Sophia telah melepasi kehebatan binaan Nabi Sulaiman iaitu Solomon Temple. Apabila Constantinople jatuh ke tangan Islam melalui Sultan Mehmet Al Fatih pada tahun 1420M, Sultan Mehmet semasa memasuki Hagia Sophia telah menyatakan kpd orang-orang tawanan Kristian, "Kamu boleh pergi, kamu bebas untuk mengamalkan agama kamu, tapi bangunan ini kami mahu". Beliau kemudiannya telah mengubah gereja Hagia Sophia kepada Masjid dengan membina menara (minaret) untuk masjid dan menukar dekorasi dalamannya.

Hagia Sophia
Ditahun 1609, Sultan Ahmed telah membina Masjid Biru betul-betul di hadapan Hagia Sophia yg merupakan campuran rekabentuk Hagia Sophia dengan kehalusan senibina Uthmaniyyah. Hagia Sophia, telah melalui tempoh sejarah yang lama. Struktur binaannya walaupun kukuh, ianya sentiasa berada dalam keadaan tidak stabil dan sering diperbaiki. Semenjak beberapa tahun yang lalu, kita telah saksikan binaan ini punya banyak risiko keruntuhan terutama dibahagian kubahnya. Sebab itu kita rasakan apa yg telah diputuskan oleh Mustapha Kamal At Taturk untuk mengubah Hagia Sophia kepada muzium ditahun 1935, mungkin satu keputusan yg tepat. Selain dari faktor ketidak stabilan, kedudukan mihrab yg agak ganjil, lari dari kedudukan binaan bangunan yang tidak menghadap kiblat, manakala masjid biru kedudukannya berada tidak jauh dari Hagia Sophia. Kemungkinan sekiranya Hagia Sophia dijadikan muzium ianya berpotensi penuh menarik lebih pelancong dari kedua-dua dunia Islam dan juga Kristian. Walaubagaimanapun muzium ini telah dikembalikan menjadi masjid oleh Presiden Erdogan pada bulan Julai tahun 2020. Semenjak tarikh itu azan telah dikumandangkan kembali dari Hagia Sophia.

Bahagian dalam Hagia Sophia, peserta mendengar taklimat dari Tour Guide.
Seterusnya kami telah dibawa melawat ke Masjid Biru, Masjid Sultan Ahmad (Blue Mosque)
Masjid ini dikenali sebagai Masjid Biru oleh kerana jubin birunya menghiasi dinding di bahagian dalamnya. Ia dibina di antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Sultan Ahmed I. Sebagaimana banyaknya kompleks masjid lain di Turki, Masjid Sultan Ahmed juga terdapat makam-makam lama, sebuah madrasah dan sebuah hospital. Masjid Sultan Ahmed telah menjadi salah satu dari tarikan pelancong yang paling popular di Istanbul.

Masjid SultanAhmed atau Masjid Biru
Selepas perjanjian perdamaian Zsitvatorok yang mana Sultan telah rasa terhina selepas ekspedisi perang yang gagal ke atas Parsi, Sultan Ahmed I, cuba memujuk dirinya dengan membuat keputusan untuk membina sebuah masjid besar di Istanbul. Masjid ini adalah merupakan masjid Sultan yang pertama dibina dalam tempoh empat puluh tahun. Sultan-sultan Uthmaniyyah yang terdahulu telah menyumbang untuk pembinaan masjid mereka dari harta rampasan perang yang dimenangi, manakala Sultan Ahmed I terpaksa mengeluarkan wang dari perbendaharaan, kerana baginda tidak memenangi mana-mana ekspedisi perang yang dilancarkan. Pembinaan ini telah menyebabkan kemarahan sebahgian ulama dan para sarjana Islam diwaktu itu.
Pembinaan masjid bermula pada bulan Ogos 1609 apabila sultan sendiri datang untuk memulakan upacara pecah tanah. Sejak awal pembinaan ini telah menjadi niat baginda bahawa masjid ini akan menjadi masjid yang ulung dizaman pemerintahannya. Dia melantik arkitek dirajanya yang bernama Sedefhar Mehmet AÄŸa, seorang pelajar dan pembantu utama arkitek yang termasyhur di Istanbul iaitu Mimar Sinan, pemilik firma arkitek yang bertanggungjawab dengan pembinaan itu.
Reka bentuk Masjid Sultan Ahmed adalah kemuncak kepada pencapaian senibina di anatolia dalam tempoh dua abad masjid Uthmaniyyah dan gereja Byzantin. Ia menggabungkan beberapa unsur dari zaman Byzantin seperti Haghia Sophia, juga dari senibina Islam tradisional. Masjid ini dianggap masjid agung yang terakhir pada zaman klasik Islam. Arkitek telah mampu membuahkan hasil dari gagasan majikannya, iaitu Mimar Sinan, dengan pembinaan masjid bersaiz sangat besar, terlihat agung dan menakjubkan.

Istana kesultanan Uthmaniyyah - Istana Topkapi
Kemudiannya kami telah dibawa melawat Istana Topkapi. Istana Topkapı bermaksud "Istana Pintu Meriam". Ia adalah sebuah istana yang terletak di Istanbul, Turki, yang mana menjadi kediaman rasmi dan utama bagi sultan Uthmaniyyah selama hampir tempoh 400 tahun pemerintahan mereka, iaitu bermula dari tahun 1465 sehingga 1856.
Pada tahun 1924, di atas arahan presiden pertama Turki iaitu Mustafa Kemal Atatürk, istana ini ditukarkan menjadi sebuah muzium. Lokasi ini dipilih khas menjadikan Sultan dapat memerhati Tanduk Emas (Grand Horn), Bosphorus dan Laut Marmara. Istana Topkapı di kelilingi oleh dinding kota sepanjang 5km dan luas 700,000 meter persegi.
Sultan Uthmaniyyah - Muhammad al-fatih telah menakluki constantinopole pada tahun 1453M, diketika itu jatuhlah empayar byzantine rom dan pada masa yang sama ianya telah menaikan taraf kerajaan Uthmaniyyah kepada sebuah empayar. Constantinopole telah ditukar nama kepada Istanbul. Kesultanan Islam yang menguasai Istanbul setelah kejatuhan byzantine telah bertolak ansur dengan pengikut kristian, sebab itulah di cappadocia gereja-gerejanya makmur. Kesultanan Uthmaniyyah telah menjadi khalifah umat Islam selama hampir 400 tahun setelah itu dan disegani musuh diserata dunia. Cuma terdengar kata-kata sumbang yang mengatakan, ekonomi Uthmaniyyah dikembangkan dengan peperangan dan Islam dikembangkan dengan mata pedang. Saya tiada komen tentang itu sebab sememangnyalah sebegitu lumrahnya manusia, bukan orang Islam sahaja yg berperang tapi bukan Islam pun suka berperang. Kebetulan perkembangan empayar itu berlaku dengan Islam sebagai tunggak agama hanyalah kerana kehendak Allah s.w,t jua.
Sebelah petangnya kami ke Grand Bazaar. Kami solat jamak di masjid yang ada di depan Grand Bazaar. Grand Bazaar dalam Bahasa Turki dipanggil Kapalıçarşı, yang bermakna Pasar Teduh, di Istanbul adalah salah satu pasar teduh yang terbesar dan tertua di dunia, dengan lebih daripada 58 jalan diteduh dan 1,200 lebih kedai yang menarik di antara 250,000 dan 400,000 pelawat tiap hari. Dibuka pada tahun 1461, ia terkenal dengan intan-berliannya, seni tembikar, rempah, dan kedai permaidani. Banyak dari gerai di bazaar dikelompokkan oleh jenis barangan, dengan kawasan khas untuk kot kulit, intan berlian dan yang serupa. Bazaar ini mengandungi dua bedesten (struktur pertukangan batu untuk penyimpanan dan penjagaan), pertama dari ianya telah dibina di antara tahun 1455 dan 1461 oleh pemerintah Sultan Mehmed Al Fatih. Bazaar kemudiannya telah dibesarkan pada kurun ke-16, sewaktu pemerintahan Sultan Sulaiman, manakala di tahun 1894 ianya berada di bawah pemulihan utama berikutan berlakunya gempa bumi.

Kapalicarsi - Grand Bazar Istanbul
Kemudiannya menjelang asar, kami dibawa menaiki cruise Bosphorus yang terkenal itu. Dari cruise kita akan dapat lihat pemandangan kejiranan kota raya Istanbul dari selat Bosphorus. Ditemani dengan burung-burung camar, pengalaman menaiki cruise ini memang amat menyeronokkan.

Cruise Bosphorus
Akhirnya untuk hari ke 7, kami dibawa untuk dinner di restoran ikan bakar, yang letaknya di bawah jambatan di Golden Horn yang menghubungkan old town Eminonu serta SultanAhmed ke new town Istanbul iaitu kawasan perbandaran Galata dan Taksim.
Turki Klasik Hari ke 8: Istanbul - Kuala Lumpur
Subuhnya hamba telah ke Mesjid depan hotel Wyndham tempat kami menginap selama dua malam di Istanbul. Pagi ini acara bebas - free and easy.
Selepas solat Subuh, dan breakfast di hotel, hamba telah berjalan kaki ke Masjid Makam Sultan AlFatih (AlFatih Turbesi Camii). Kira2 30 minit berjalan kaki. Sempatlah buat Solat Tahiyatul Masjid dan Dhuha di Masjid tersebut. Hamba juga ziarah maqam Sultan AlFatih dan keluarga mereka. Bangunan maqam sultan sedang dalam proses pembaikan.
Selesai, hamba berjalan kaki balik ke Hotel, sekarang menunggu jam 10.30am utk checkout dan berlepas balik ke Kuala Lumpur jam 2.15pm.
Itulah berakhirnya serba sedikit kisah kami selama 8 hari dan 7 malam sebagai Tour Leader, bagi itinerari Turki Klasik dari 15 Mac 2015 ke 22 Mac 2015.