Kenangan Balkan dan Greece 12H10M, Mac 2016
Kenangan Balkan dan Greece 12H10M, Mac 2016
Balkan telah menyaksikan jatuh dan bangunnya banyak empayar di dunia. Di situ lahirnya Raja Iskandar Zulkarnain yang berjaya melebarkan empayarnya kepada sebahgian besar dunia barat dan timur, di situ bermulanya tamaddun Yunani Silam, berganti dengan tamaddun Helenistik yang berpusat di Rom dan kemudiannya dikuasai oleh Khalifah Uthmaniyyah dikurun ke 14. Di situ bermulanya perang dunia pertama apabila berlakunya agenda penyatuan bangsa Slav yang membebaskan mereka dari Sultan Uthmaniyyah dan menubuhkan negara Yugoslavia.

Istilah "Balkan" merujuk kepada Semenanjung Balkan, yang merupakan sebuah kawasan geografi di Tenggara benua Eropah, dan termasuk juga wilayah-wilayah di sekitarnya. Ia adalah daratan yang bersempadan dengan Laut Adriatik di sebelah barat, Laut Mediterranean di sebelah selatan dan juga Laut Hitam di sebelah timur. Balkan merangkumi negara seperti Slovenia, Croatia, Serbia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Moldova dan Greece. Nama "Balkan" berasal dari banjaran gunung Balkan, yang merentasi wilayah itu.

Balkan telah menyaksikan jatuh dan bangunnya banyak empayar di dunia. Di situ lahirnya Raja Iskandar Zulkarnain yang berjaya melebarkan empayarnya kepada sebahgian besar dunia barat dan timur, di situ bermulanya tamaddun Yunani Silam, berganti dengan tamaddun Helenistik yang berpusat di Rom dan kemudiannya dikuasai oleh Khalifah Uthmaniyyah dikurun ke 14. Di situ bermulanya perang dunia pertama apabila berlakunya agenda penyatuan bangsa Slav yang membebaskan mereka dari Sultan Uthmaniyyah dan menubuhkan negara Yugoslavia. Kemudiannya Yugoslavia telah menjadi komunis ditahun 1945. Di tahun 1992 dengan keruntuhan komunis Yugoslavia, negara Yugoslavia telah berpecah kepada negara-negara kecil balkan. Ketegangan kaum telah berlaku semenjak tahun 1980an lagi dengan kematian Tito, pemimpin komunis Yugoslavia. Ketegangan kaum mengikut garis agama Croats- Kristian Katolik, Serbs - Kristian Ortodox dan Bosniac - Islam telah mencetuskan Perang Balkan 1990an yang meragut banyak nyawa umat Islam Balkan.

Peta Negara Balkan : Slovenia, Croatia, Serbia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Moldova dan Greece

Peta Balkan dengan negara-negara di Tenggara Eropah termasuklah Slovenia, Croatia, Serbia, Bosnia dan Herzegovina, Montenegro, Kosovo, Albania, Macedonia, Bulgaria, Romania, Moldova dan Greece


Bangsa Slavs mula menetap di Balkan diantara kurun 6–7. Mereka memeluk Kristian dikurun ke 9. Negara Croatia telahpun wujud diantara kurun ke 10 dan 11, dimana ianya dijajah oleh bangsa Hungary, dan Croatia diperintah Hungary sehingga ke akhir perang dunia pertama. Bosnia pula telahpun merdeka dari kurun ke 12 hingga ke 15, bilamana ianya jatuh kebawah pemerintahan Sultan Uthmaniyyah. Diakhir kurun ke 19, Bosnia telah diserahkan kepada pemerintahan Austria-Hungary, dan penyerahan secara formal pada tahun 1908 ialah diantara perkara-perkara yang telah membibitkan perang dunia pertama.

Macedonia pula menjadi rebutan empayar Rom Byzantine, Bulgaria, dan lain-lain kuasa setempat sehingga akhirnya dijajah oleh Serbia dikurun ke 14. Sebagaimana Serbia juga, ianya telah jatuh kebawah taklukan Sultan Uthmaniyyah diakhir kurun ke 14. Serbia mula kembali menampakan pengaruhnya di Balkan semasa perang Balkan yang awal, iaitu perang diantara negara Liga Balkan (Serbia, Greece, Bulgaria, and Montenegro) yang bangkit melawan Sultan Uthmaniyyah (1912-1913) yang berakhir dengan memerdekakan banyak wilayah Balkan. Mengikut rekod sejarah, negara Serbia bermula di kurun ke 13 dibawah pemerintahan Stephen Dušan (1331–55) telah pernah menjadi satu kuasa yang terkuat di Balkan. Kekalahan ditahun 1389 semasa perang ‘Kosovo Field’ telah meletakan Serbia dibawah jajahan Uthmaniyyah diantara kurun ke 14 sehingga ke kurun 19.

‘Kosovo Field’ sekarang dikenali sebagai Montenegro, di tahun 1389 merupakan kawasan yang seolah merdeka dari empayar Serbia. Manakala pemberontakan Montenegro menentang Sultan Uthmaniyyah terus sahaja berlaku diketika itu, tetapi ditahun 1499 ianya akhirnya telah dijajah sepenuhnya oleh Sultan Uthmaniyyah. Manakala di ketika itu juga, Venice telah menakluk sebahgian wilayah Montenegro iaitu pelabuhan Kotor, dan Raja Montenegro ketika itu hanya memerintah sebahgian baki kawasan negara mereka iaitu dari Cetinje ke sempadan Kotor. Montenegro dimerdekakan dari wilayah Uthmaniyyah ditahun 1799, dan ditahun 1829 Sultan Uthmaniyyah telah menganugerahkan otonomi kepada Serbia. Montenegro dan Serbia telah diiktiraf merdeka oleh negara-negara kuasa besar Eropah semasa Kongres Berlin di tahun 1878. Serbia diiktiraf negara bebas ditahun 1882, dan ianya telah menjadi sebagai satu kuasa penting di Balkan setelah tamatnya Perang Balkan (1912–13).

Gerakan penyatuan Slavs Selatan diketuai oleh Serbia yang menjadi punca utama Perang Dunia Pertama. Bila pejuang utama kebangsaan Serbia, Francis Ferdinand dibunuh di Bosnia, Austria telah mengisytiharkan perang keatas Serbia. Serbia dan Montenegro ketika itu telah ditadbir dari satu kuasa pusat, manakala tentera Serbia telah memasuki Greece, mengisytihar Greece sebagai jajahan Slavs Selatan di bulan Julai, 1917. Penyatuan itu berlaku dibawah Raja Serbia King Peter I. Raja terakhir Montenegro, Nicholas I, telah dijatuhkan dari takhta ditahun 1918, dan Montenegro akhirnya telah disatukan dengan Serbia. Dibulan Disember, 1918, selepas Perang Dunia ke I, negara “Serbs, Croats, dan Slovenes" telah diisytiharkan. Kesatuan negara ini kemudiannya dikenali sebagai Yugoslavia telah dibentuk, menyatukan pelbagai populasi bangsa Slavia di Selatan Balkan. Negera ini, bagaimanapun, menghadapi ketegangan dalaman dan ketidakstabilan politik. Pada tahun 1946, Yugoslavia telah berubah menjadi persekutuan sosialis, menubuhkan Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia (SFRY).

Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia (SFRY), adalah merupakan sebuah negara sosialis di Eropah Tengah dan Tenggara, wujud dari tahun 1945 hingga ke tahun 1992. Ia merupakan persekutuan yang terdiri daripada enam republik: Bosnia dan Herzegovina, Croatia, Macedonia, Montenegro, Serbia dan Slovenia. SFRY juga dikenali sebagai Republik Rakyat Persekutuan Yugoslavia dari 1945 hingga 1963. Negara itu dibubarkan pada 1992 selepas pengisytiharan kemerdekaan oleh republik itu, menurut Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas negara Yugoslavia.

"Perang Balkan" di zaman terkemudian iaitu pada tahun 1990-an, juga dikenali sebagai Perang Yugoslavia, adalah satu siri konflik yang meletus di bekas Yugoslavia selepas kematian Presiden Tito pada tahun 1980. Ketegangan antara enam republik itu, termasuk Serb, Croat, Muslim Bosnia, Albania, dan Slovenes, membawa kepada pengisytiharan kemerdekaan di Croatia dan Slovenia pada tahun 1991. Perpecahan Yugoslavia dan kemunculan identiti nasional baharu membawa kepada peningkatan sentimen nasionalis, khususnya di kalangan Serbia, Croatia, dan Bosniak. Tentera Yugoslavia telah bertindak balas, dan konflik merebak ke Bosnia dan Herzegovina, di mana akhirnya penghapusan etnik dan pertempuran hebat berlaku untuk satu tempoh yang agak panjang. Tentera Serbia, disokong oleh tentera Yugoslavia, terlibat dalam pembersihan etnik, menyebabkan lebih sejuta orang Islam Bosnia dan Croat telah dipindahkan. Peperangan itu juga mengakibatkan lebih 100,000 kematian, krisis pelarian besar, dan juga kemerdekaan bagi negara Croatia, Bosnia, Slovenia, dan Macedonia.

KISAH KEMBARA KAMI KE BALKAN

10 March 2016: Selesai checkin Turkish Airline group Balkan 22 orang di row F14 KLIA. Kami akan ke Balkan selama 10Malam 12hari, In Syaa Allah. Semoga dipermudahkan segala urusan kami di sana dan sihatkan kami disepanjang perjalanan

Perjalanan ke Balkan kami, transit di Istanbul. Flight Turkish Airlines berlepas ke Istanbul jam 11.25pm dan perjalanan memgambil masa 11jam. Kami sampai jam 4.30am waktu Istanbul. Kami transit disini 5 jam. Turun dari flight, kami mencari transfer desk. Selesai security check untuk transit, kami mencari surau (Mesjid). Waktu jam 5.49am waktu tempatan, kami solat subuh di surau airport Istanbul. Masih ada 4 jam sebelum kami menaiki flight ke Zagreb.

HARI KE 1 11/3: DARI ISTANBUL KE ZAGREB

Alhamdulillah flight Turkish Airlines TK 1053 selamat sampai Zagreb 11.45am waktu tempatan. Kami telah disambut oleh Tour Guide, Miss Stella dan driver bas Mr Slave. Kami dibawa menaiki bas dan perjalanan diteruskan ke sebuah restoran yang menyediakan makanan halal di bandar Zagreb. Selesai makan, kami berjalan kaki ke Pusat Islam Zagreb untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar. Selepas itu dalam jam 3pm -6pm kami dibawa melawat bandar Zagreb. Kami berjalan kaki dgn suhu 8°C di kawasan yang mempunyai bangunan bersejarah dan menarik hingga ke bangunan Cathedral bersejarah, tempat beribadat orang-orang Khatolik Croatia. Selepas itu kami ke Zagreb square dan kemudiannya kami dibawa menaiki bas melewati kawasan perkuburan bersejarah Zagreb, sebelum dibawa ke hotel Aristos. Jam 6.30pm segala urusan checkin ke bilik masing-masing selesai. Jam 8pm nanti kami dinner disini In Syaa Allah.

Bergambar di hadapan Zagreb Orthodox Cathedral.

Zagreb Orthodox Cathedral

Lagi gambar-gambar persekitaran bandar Zagreb.


Replika Bandar Zagreb
Di hadapan Pusat Islam Zagreb
Di hadapan tugu Kota Zagreb

HARI KE 2 12/3: DARI ZAGREB KE BIHAJ

Awal pagi sebaik selepas minum pagi, perjalanan kami ditreruskan dari hotel Aristos Zagreb ke selatan menuju Tasik Plitsvika. Tasik ini merupakan sebuah Taman Negara Dunia yang diiktiraf UNESCO. Makanan dihotel Aristo diiktiraf Halal oleh Persatuan Islam tempatan.

Perjalanan pagi ini melalui perkampungan Croatia, banyak kesan-kesan perang Balkan seperti kesan peluru di dinding bangunan dan kesan bangunan runtuh disebabkan bom. Kesan yang telah ditinggalkan ini boleh dilihat dikiri kanan sepanjang perjalanan ini. Rupabumi yang mulanya mendatar kemudiannya memasuki kawasan pergunungan, manakala dikiri kanan ialah pemandangan perkampungan Croatia yang indah dengan keunikan tersendiri.

Tasik Plitsvika merupakan ciptaan tasik semulajadi yang cukup indah. Ianya terdiri dari 16 buah tasik yang berada dalam kedudukan bertingkat-tingkat. Pada musim sejuk seperti ketika ini, perjalanan ke tasik menjadi agak licin dan merbahaya. Pada musim ini cuma 4 tasik yang dibuka untuk dilawati. Itu pun sudah cukup bagi kami untuk menikmati keindahan alam ini.

Keluar dari Taman Negara Plitsvika, kami berhenti untuk makan tengahari di sebuah hotel berhampiran. Makanan vegetarian, sebab di sini susah untuk dapatkan makanan halal. Kami solat jamak zohor dan asar disini. Suhu hari ini dalam 4°C.

Perjalanan diteruskan ke arah sempadan negara Bosnia Herzegovina. Kalau di Croatia, majoriti mereka Kristian Katolik. Umat Islam di Croatia hanya 1.5% dari 4.8 juta penduduk. Bosnia bermajoritikan Islam (45%) dari 3.8 juta penduduk. Balkan menyaksikan bagaimana bangsa Slav itu disebut mengikut garis agama masing-masing. Kristian Katolik dipanggil Croatian, Kristian Ortodok dipanggil Serbian, manakala Muslim dipanggil Bosniac.

Tasik Plitsvika Croatia - Taman Negara yang dikitiraf UNESCO
Tasik Plitsvika Croatia - Taman Negara yang dikitiraf UNESCO

Sebaik memasuki Bosnia, kami telah dibawa ke bandar Bihaj yang pernah menjadi pusat pentadbiran Uthmaniyyah satu ketika dulu. Bandar ini merupakan bandar tentera muslim Bosniac dizaman perang Balkan yang awal dan merupakan bandar kawalan sempadan di zaman Uthmaniyyah yang kubunya masih utuh sehingga kehari ini. Kubu itu digunakan bagi mengawal sempadan dari serangan tentera kristian katolik Croats. Kami dinner di pinggir sungai Una, yang merupakan nadi yang bukan saja membekalkan kuasa elektrik tetapi menjadi tarikan pelancung untuk sukan lasak seperti rafting, canoeing dan seumpama. Semasa musim panas hotel-hotel disini menjadi tumpuan pelancung.

Kami kemudian bertolak ke Hotel Kolsteski Buk, sebuah hotel dipinggiran air terjun yang indah. Kelihatan peserta-peserta kami tersenyum puas, dan hamba sebagai Tour Leader semestinya merasakan lebih kegembiraan mereka.

HARI KE 3 13/3: DARI BIHAC KE TRAVNIK

Hari ke 3, perjalanan kami diteruskan ke Selatan menghala bandar Travnik, pagi ini setelah sarapan pagi di hotel. Kami menyelusuri sungai Una, sungai dimana hotel tempat kami bermalam semalam. Kami melalui kawasan tanah tinggi yang didiami penduduk muslim Bosnia. Kami dapat melihat perkampungan mereka, sungai-sungai yang jernih airnya mengalir menuruni kawasan tinggi ke lembah berhampiran.

"...macam di Switzerland ..." kata Dr. Padzil, hamba hanya tersenyum kerana pemandangan beserta rumah perkampungan mereka, juga mengingatkan hamba ke kawasan Manali di pergunungan Himalaya dan juga perkampungan di Kashmir.

Kampung-kampung orang Islam yang masjidnya dibina mengikut rekabentuk Turki Uthmaniyyah dapat dilihat disepanjang jalan. Manakala kawasan perkuburannya tidak jauh dari masjid, memiliki batu nisannya yang tinggi-tinggi yang diperbuat dari mamar. "As Salamualaikum Yaa Ahlil Kubur", hamba sedekahkan Alfatihah dan tiga kali Qulhuallah untuk dihadiahkan kepada ahli kubur, sebagaimana yang pernah diajar oleh arwah datuk, apabila bertemu kawasan perkuburan. In Syaa Allah kita akan dapat menafaat dari pahala ahli kubur itu ..... hmm, perkuburan mereka rupanya dikongsi diantara Muslim dan Kristian yang tinggal berjiran sekampung. " Mereka berperang semasa hidup, tetapi mati boleh pulak bersama disatu kubur....", komen Kak Maimunah seorang peserta.

Perjalanan dibulan March, cuaca di kawasan tanah tinggi dipenuhi kabus dan hujan renyai-renyai disepanjang perjalanan. Bas bergerak berhati-hati pada kelajuan 60-80km/jam disebabkan jalan yang licin. Pagi ini nasib kami kurang baik kerana navigator bas telah menunjuk arah yang silap. Kami tersasar dari jalan yang sepatutnya selama lebih 2 jam mudik sungai Una. Kami terpaksa berpatah balik ke Bihac kemudiannya.

Perjalanan ke Travnik melewati perkampungan Muslim dan apabila semakin hampir dengan Travnik, ianya berselangseli diantara perkampungan Croatia dan Serb. Perkampungan Serb dikenali dari binaan gereja ortodok mereka. Gereja Ortodok, selalunya mempunyai dom dan minaret. Tanda salib terletak di minaret. Selalu juga binaannya dibuat dari warna emas. Berbeza dari gereja katolik (croatia) yang selalunya berbentuk atap rumah dan salib terletak ditengah-tengah atap.

Travnik - Merupakan sebuah majlis perbandaran. Pernah menjadi ibu negara Bosnia dari tahun 1699 ke 1850. Kami lunch disebuah restoran dibawah bukit yang berdiri megah dengan sebuah kubu lama, 'Travnik Castle' dikawasan berhampiran dengan Bandar Lama (Old Town). Suhu disini semasa kami sampai 1°C, kami berjalan kaki melintasi bandar lama ke Masjid Suleimaniya. Kami juga sempat mengerjakan solat sunat di Masjid Suleimaniya sebuah masjid yang dibina dizaman Uthmaniyyah. Selepas solat sunat kami teruskan perjalanan ke Sarajevo, yang merupakan ibukota Bosnia hari ini.

Gambar sungai jernih airnya di bandar Travnik dan perkuburan Islam Bosnia dimana batu nisannya tinggi diperbuat dari marmar.

Bandar Travnik terkenal dengan Air Sungainya yang mengalir jernih, Madrasah, Masjid Lama Sulaimaniya dan Kubu Kota di puncak bukit berhampiran.
Perkuburan Islam di Bosnia. Ciri-cirinya ialah batu nisan yang tinggi.

Sejarah Travnik juga panjang bermula dari semenjak prasejarah iaitu di zaman tembaga. Selepas masehi, ianya menjadi pangkalan tentera Rom dan koloni Rom masih lagi ada di Zenica hingga ke hari ini. Dizaman pertengahan ianya menjadi sebahgian dari wilayah Bosnia.

Travnik mempunyai Kota Lama (castle) yang berada di sektor Old Town hari ini. Dikurun ke 15, selepas Travnik jatuh ketangan Uthmaniyyah, penduduknya memeluk agama Islam. Uthmaniyyah banyak membina binaan mereka dizaman itu yang menjadikan Travnik sebuah bandar penting mereka. Tahun 1699, apabila Sarajevo dibakar oleh tentera Savoy, Travnik menjadi ibu kota wilayah Bosnia Uthmaniyyah. Tahun 1930 bandar ini telah terbakar disebabkan oleh api yang bermula dari keretaapi. Ditahun 1929 ke 1941 Travnik ialah sebahgian dari Yugoslavia.

HARI KE 4 14/3: SARAJEVO OLD TOWN DAN NEW TOWN

Sebelum memasuki bandar Sarajevo, kami dibawa melawat War Tunnel Museum dimana satu terowong dibina diwaktu perang untuk melepasi kepongan tentera Serb ke atas Sarajevo. Tujuannya bagi memudahkan untuk mendapatkan bekalan senjata dan makanan. Selepas itu kami dibawa ke satu taman yang cukup cantik dimana ianya merupakan salah satu matair dari sungai Bosna yang merentasi negara Bosnia yang dikenali oleh orang tempatan sebagai Vrelo Bosna.


Sarajevo War Tunnel : dimana satu terowong dibina diwaktu perang untuk melepasi kepongan tentera Serb ke atas Sarajevo
Vrelo Bosna - Matair Sungai Bosna di Sarajevo. Sungai Bosna merentasi negara Bosnia.

SARAJEVO OLD TOWN, BANDAR PENINGGALAN UTHMANIYYAH.

Setiba kami di Sarajevo menjelang tengahari, kami dibawa berjalan kaki ke kawasan bandar peninggalan Uthmaniyyah. Selain dari Masjid dan Madrasah, disini juga ada Bazaar, restoran dan kedai Cenderamata.

Kami lunch disini dan selepas lunch kami dibawa bersolat disebuah Masjid yang telah dibina di zaman Uthmaniyyah. Kemudian kami dibawa berjalan-jalan di sekitar perbandaran lama ini.

SARAJEVO NEW TOWN, BANDAR PENINGGALAN EMPAYAR AUSTRIA-HUNGARY

Selepas solat jamak taqdim di Masjid bersejarah di sini, kami dibawa ke Madrasah lama yang sekarang diubah menjadi muzium. Kemudiannya kami dibawa melewati sempadan diantara bandar lama Uthmaniyyah (kurun 14-16) dan bandar baru yang dipengaruhi empayar Austria-Hungary (kurun 17-18). Dibandar baru ada sebuah Cathedral atau Gereja Katolik dan juga sebuah Gereja Ortodok. Kami sempat bergambar dikedua-dua arah sempadan tersebut.

Selepas lawatan kami diberi waktu 'free and easy' untuk berjalan sendiri-sendiri dan bertemu didataran Barcarsija yang terletaknya sebuah binaan zaman pertengahan yang masih utuh - Sebilj.

Sebilj - merupakan binaan wakaf perhentian yang diperbuat dari kayu yang mempunyai saluran air yang mengalir yang diguna pakai untuk pengembara zaman pertengahan beristirehat. Dizaman Uthmaniyyah, Sebilj menempati sepanjang jalan yang dibina dari Istanbul ke Sarajevo.

Gambar di bawah ialah sebuah Sebilj di Sarajevo old town, manakala di sebelah kiri merupakan garis sempadan yang memisahkan bandar lama dan baru.


Sarajevo Sebilj
Sarajevo - Sempadan antara Old Town dan New Town.

Gambar di bawah pula ialah Mawar Sarajevo (English: Sarajevo Rose, Bosnia: Sarajevske ruže) ialah sejenis tanda peringatan di Sarajevo yang merupakan parut diperbuat daripada konkrit yang disebabkan oleh letupan cangkerang mortar yang kemudiannya diisi dengan resin merah. Pusingan mortar mendarat di atas konkrit semasa pengepungan Sarajevo mencipta corak pemecahan unik yang kelihatan hampir berbunga dalam susunan, dan oleh itu ianya telah dinamakan "mawar". Di sebelah kanan ialah pemandangan jalan masuk ke Sarajevo Old City - Stari Grad.

Sarajevo Rose - parut diperbuat daripada konkrit yang disebabkan oleh letupan cangkerang mortar yang kemudiannya diisi dengan resin merah. Pusingan mortar mendarat di atas konkrit semasa pengepungan Sarajevo mencipta corak pemecahan unik yang kelihatan hampir berbunga dalam susunan, dan oleh itu ianya telah dinamakan "mawar"
Sarajevo- Pemandangan jalan masuk ke Sarajevo Old City

HARI KE 5 15/3 : DARI SARAJEVO KE KONJIC DAN MOSTAR

Kami berlepas dari Hotel Hollywood Sarajevo agak lewat dlm jam 9.30am. Perjalanan ke Selatan menuju kearah Konjic melalui kawasan pergunungan iaitu banjaran pergunungan yang mengelilingi lembah Sarajevo, diselang seli dengan pemandangan pergunungan bersalji yang gagah mempamirkan mahkota masing-masing. Kami sampai di Konjic jam 12pm, kami berhenti untuk bergambar di pekan yang indah ini, terutamanya di kawasan jambatan Konjic yang penuh bersejarah itu.

Konjic adalah satu penempatan dipinggir sungai Netreva adalah yang tertua di Bosnia bertarikh 4000 tahun, merupakan satu bandar penting kurun ke 14. Bandar Konjic ini menjadi sebahgian dari negara Bosnia semasa zaman Uthmaniyyah, dimana kesan-kesan pengaruh mereka selain Masjid dan Agama Islam ialah Jambatan Konjic yang terkenal itu. Konjic di kurun ke 18 menjadi sebahgian empayar Austria-Hungary. Jambatan Konjic dibina diantara 1682 dan 1683 oleh Ali-aga Hasečić merupakan salah satu jambatan asal yang masih kekal semenjak zaman Uthmaniyyah di Bosnia dan Herzegovina. Rekabentuk lengkuk ditengah dimusnahkan oleh tentera German (Mac 1945). Ianya dibina kembali ke asalnya ditahun 2003 ke 2009. Jambatan ini kini telah dijadikan tugu kebangsaan negara Bosnia dan Herzegovina. Di bawah ialah gambar di sekitar jambatan Konjic.

Jambatan Konjic - Tugu Kebangsaan Negara Bosnia
Konjic Bosnia - Di tebing sungai

Selepas perang dunia I, Bosnia dan Herzegovina telah bersama negara Serb, Croat dan Sloven telah menjadi sebahgian negara Yugoslavia. Semasa perang dunia II, Konjic telah menjadi sebahgian negara merdeka Croatia dan selepas perang, sekali lagi berada dibawah Republic Persekutuan Yugoslavia. Konjic kemudiannya telah maju dengan beberapa kilang industri ditubuhkan disini. Semasa perang Balkan 1990an, Konjic yg mempunyai perusahaan kilang senjata telah menjadi sasaran puak yang bertelingkah.

Jam 12.30pm kami bertolak dari Konjic dan berhenti utk makan tengahari di Jablanica, disebuah restoran tepi jalan menghadap puncak gunung bersalji. Restoran yg bernama Zdrava Voda itu terkenal dengan kambing goleknya.

Perjalanan diteruskan jam 2.30pm dan kami selamat sampai Mostar jam 3.15pm. Kami solat berjemaah Jamak disebuah Masjid berhampiran. Kemudiannya kami dibawa melalui pekan lama bandar Mostar sebelum melintasi Jambatan Mostar yang terkenal itu.

Nama Mostar datang dari nama penjaga jambatan ini - Mostari dimana dizaman pertengahan dikenali sebagai Stari Most (Jambatan Lama) melintasi sungai Neretva. Ianya dibina oleh Uthmaniyyah dikurun ke 16, merupakan salah satu mercu tanda utama Bosnia and Herzegovina, yang juga merupakan contoh binaan Islam di Balkan yang boleh dibanggakan. Gambar di bawah ialah pemandangan sekitar Mostar.

Pemandangan Perkampugan Mostar
Jambatan Mostar

Jambatan Mostar yg berdiri selama 427 tahun disitu telah musnah di bom oleh tentera Croat semasa perang Croat-Bosniak pada 9 Nov 1993. Pembinaan semula jambatan ini dilakukan kemudiannya dan siap sepenuhnya pada 23 Julai 2004.

Petangnya kami checkin ke hotel Mespa sebuah hotel 5 bintang dibina bersama sebuah mall ditengah-tengah bandar Mostar. Malamnya kami dibawa ke Blagaj untuk dinner dengan ikan Trout bakar.

HARI KE 6 16/3: DARI MOSTAR KE BLAGAJ, NEUM DAN DUBROVNIC

Jam 9am kami berlepas dari hotel Mepas di Mostar, kearah selatan menghala Blagaj. Di Blagaj kami dibawa melawat Tekija. Tekija merupakan sebuah pondok suluk ajaran Tarikat Naqsyabandiyah. Disini juga merupakan makam bagi guru-guru tarikat ini. Pengikut mereka berkumpul di sini untuk berzikir beberapa hari dalam seminggu dan setahun sekali mereka juga bertemu dibulan Mei dalam kumpulan yang lebih besar. Pondok ini dibina di hulu sungai Buna. Air yang bersih dan jernih mengalir dari gua kawasan bukit dan turun ke kawasan sungai melalui jeram-jeram yang cukup cantik mata memandang. Bunyi air mengalir sungguh memberikan ketenangan kepada kami. Kami lunch di sebuah restoran dipinggir Sungai Buna ini. Di bawah ialah pemandangan di pondok Tekija, Blagaj.


Pondok Blagaj - Pondok Tarikat Naksyabandi, Pemandangan Al-Quran di dalam satu bilik di pondok.
Pondok Tekija Blagaj - Sebuah Pondok Tarikat Naksyabandi

Dalam jam 3pm kami bertolak ke Neum. Satu-satunya bandar milik Bosnia yg terletak di tepi laut Adriatic dengan pinggiran pantainya sejauh 20km. Kami melalui kawasan jalan yang curam dan berlengkok dicelah-celah kawasan pergunungan sebelum sampai ke Nuem.

Neum, dari segi sejarah terletak dibawah jajahan Bosnia dan Herzegovina, sebab itu sehingga ke hari ini ianya merupakan satu-satunya pekan yang menghubungkan Bosnia dengan lautan Adriatic.

Jam 4.15pm perjalanan diteruskan menghala Dubrovnik. Sekali lagi kami melintasi sempadan Croatia. Perjalanan kali ini melewati jalan pinggiran laut Adriatic. Pandangan indah dengan curam-curam batu dipinggir laut dihiasi dengan suasana matahari petang menemani kami di sepanjang perjalanan. Kami memasuki pinggir Dubrovnik dalam jam 5pm, tetapi disebabkan masalah dengan banyak jalan di bandar Dubrovnik yang ditutup, kami hanya mampu sampai ke Bandar Lama Dubrovnik menjelang senja. Tour Guide, Miss Ivana menunggu kami disana utk membawa kami melawat bandar lama Dubrovnik. Selesai lawatan dalam jam 8pm, kami dibawa checkin ke hotel Adria. Agak terkejut melihat ada sekumpulan pelancung Malaysia disana sedang menunggu untuk naik lif. Selepas memberi salam dan bertanya, rupanya mereka bertolak melawan arus kami. Mereka bertolak dari Athens dan akan ke Zagreb.

Dinner di hotel Adria, tidak muslim friendly, kami pilih makanan vegetarian dan ikan sahaja. Selepas dinner, kami ke bilik. Terpegun dengan pemandangan Dubrovnik dari bilik hotel kami, disebabkan keletihan kami sempat menyaksikan panorama bandar Dubrovnik sekejap sahaja sebelum terlena.

Dubrovnik merupakan sebuah bandar Croatia ditepi laut Adriatic, di wilayah Dalmatia. Merupakan sebuah bandar pelancungan utama di laut Mediterranean, sebuah bandar pelabuhan dan ibu negeri Dubrovnik-Neretva. Tahun 1979, Dubrovnik menyertai senarai bandar warisan dunia UNESCO.

Pemandangan Bandar Dubrovnik
Di dalam Kota Lama Dubrovnik

Kemakmuran Dubrovnik dari segi sejarahnya banyak bergantung kepada perniagaan menerusi lautan. Di zaman pertengahan Dubrovnik merupakan sebuah bandar yg makmur dan ditadbir oleh mereka yang mempunyai kemahiran perundingan yang tinggi. Kerajaan Uthmaniyyah tidak mengganggu mereka apabila mereka bersetuju untuk membayar ufti kepada Sultan Uthmaniyyah. Selepas Uthmaniyyah, tentera Nepoleon Benoparte dari Peranchis telah memasuki Dubrovnik secara aman, dan mereka mengishtiharkan Dubrovnik sebahgian wilayah mereka. Dubrovnik melepasi setiap pertembungan mereka dengan cara diplomasi. Walaupun mereka selamat dari banyak peperangan, bandar ini kerapkali dilanda gempabumi dan kejadian itu telah banyak meruntuhkan banyak binaan yang ada. Gempa bumi yg terakhir disini ialah 7 tahun lepas (2008 ?)

HARI KE 7 17/3: PERJALANAN DARI DUBROVNIK KE KOTOR DI MONTENEGRO DAN KE SHKODDER DI ALBANIA

Paginya kami memulakan perjalanan dari Dubrovnik bertolak ke selatan Croatia melintasi sempadan dan kita mula memasuki sebuah negara kecil Montenegro. Negara Balkan berpenduduk kurang dari 1 juta ini, pemimpin mereka berjaya mengelak dari berperang dengan kuasa besar di sepanjang sejarah. Mereka melaksanakan konsep berkecuali dan berbaik dengan semua negara.

Kota lama Kotor dan Budva merupakan bandar tarikan pelancong di Montenegro. Tarikan utama ialah kapal-kapal pesiaran dipelabuhannya dan juga kota-kota pertahanan yang dibina di tepi laut di bandar lama mereka. Di bawah ialah gambar di dalam Kota Lama Kotor dan juga Budva

Kotor Old Town Montenegro Balkan
Budva Old Town Montenegro Balkan

Kami berhenti untuk makan tengahari beserta solat disebuah perkampungan Islam di Montenegro, sebelum perjalanan diteruskan ke bandar Shkodder di Albania.

Dari sempadan Montenegro kami memasuki Albania untuk bermalam di sebuah bandar tidak jauh dari sempadan. Tasik Shkodder meliputi 2/3 Montenegro dan 1/3 Albania. Bandar yang mengambil sempena nama tasik tersebut - Shkodder berada dipinggir tasik. Kami bermalam di Hotel Grand Europa yang terletak di tepi tasik Shkodder. Albania berpenduduk 3 juta orang, seramai 75% Islam. Tetapi mereka tidak kelihatan seperti pengamal Islam yang patuh. Mungkin setelah sekian lama berada dibawah pemerintahan Komunis dan diktator yang Atheis - hari ini mungkin tidak sampai 10% sahaja kembali mengamalkan Islam. Keadaan yang hampir sama berlaku di negara komunis china.

HARI KE 8 18/3: ALBANIA: DARI SHKODDER KE TIRANA DAN OHRID DI MACEDONIA

Albania pernah satu ketika menjadi sebahgian wilayah Dalmatia di dalam jajahan Rom (selatan Illyricum), Macedonia (terutamanya Epirus Nova), dan Moesia Superior. Republic moden Albania merdeka dari pemerintahan Uthmaniyyah semasa runtuhnya empayar Uthmaniyyah di Eropah ditahun 1912, selepas perang Balkan. Albania kemudiannya dijajah Itali ditahun 1939. Kemudian jatuh ketangan Nazi German ditahun 1943. Setahun kemudian Albania menjadi sosialis (socialist People's Republic) dibawah kepimpinan Enver Hoxha dan Parti Buruh. Albania berubah secara sosial dan politik semasa era komunis terutamanya mereka mengasingkan diri dari dunia luar dan Islam hampir tercabut dari amalan penduduknya. Rakyat negara lain tidak dibenarkan memasuki Albania dan begitu juga rakyat Albania tidak dibenarkan ke luar negara. Enver Hoxva memerintah secara diktator dan ramai rakyat Albania dibunuh kerana melawan pemerintah. Ramai juga yang lari keluar Albania, menduduki Italy, Greece, Macedonia dan lain-lain negara eropah. Orang-orang inilah yang banyak menghantar pulang wang ke negara mereka dan membangunkan kembali negara mereka sekarang.

Ditahun 1981, pemerintah komunis Albania telah dijatuhkan dan penubuhan sebuah negara Republik di Albania telah bermula. Sekurangnya dihari ini 15 tahun kemudian, kita dapat melihat bermulanya putik-putik akan kembalinya Islam di Albania.

Dari shkodder, perjalanan kami diteruskan ke bandar ibu kota Albania - Tirana.

Tirana - diduduki semenjak 10,000 tahun dahulu. Menjadi jalan laluan utama semasa empayar Rom dari pelabuhan Durrest ke Tirana dan kemudian Ohrid (sekarang Macedonia) dan ke Yunani (Geece). Tirana masih mempunyai bangunan-bangunan yang dibina semenjak zaman Uthmaniyyah dan selepas itu bangunan-bangunan yang dibina dizaman pemerintahan Itali, manakala kemudiannya bangunan pentadbiran yang banyak dibina dizaman Komunis. Tirana mempunyai sebuah binaan Masjid Lama yg unik yang dibina dizaman Uthmaniyyah yg masih lagi digunakan sehingga sekarang. Cuma masjid ini terlalu kecil untuk menampung jemaah yang ada. Sebuah masjid baru sedang dibina dikawasan tidak jauh dari masjid sekarang. Keunikan masjid lama Tirana ialah dibinaannya, yang mana ianya agak berbeza dengan binaan kebanyakan masjid-masjid Turki Uthmaniyyah. Masjid Albania menggabungkan rekabentuk tradisi Albania dan juga Masjid Uthmaniyyah.

Ada satu binaan piramid yang dibina untuk mengingati Enver Hoxha, yang mati ditahun 1990, seorang diktator Albania semasa pemerintahan komunis. Binaan ini dibiarkan tidak terjaga sebahgiannya dan dijaga sebahgian yang lain hanya kerana mereka ingin menunjukan perasaan rakyat Albania terhadap diktator ini. Mereka mengingati beliau dengan perasaan penuh kebencian !!

Dihadapan binaan piramid tersebut, ada pula binaan loceng. Loceng ini untuk mengingatkan rakyat Albania kepada skim piramid yang dilaksanakan oleh Kerajaan mereka. Skim ini sebagaimana skim-skim piramid lainnya telah runtuh apabila ianya telah tepu manakala dari sudut ekonomi ianya tidak mampu dan gagal membangunkan ekonomi rakyat.

Menjelang jam 3pm selepas makan tengahari dan solat jamak di Masjid Lama Tirana. Ya, kami tidak sempat untuk solat jumaat di sini hanya kerana Masjid ini kecil dan bas tidak punya tempat untuk parking semasa umat Islam setempat sibuk ke Mesjid kira-kira jam 12 tengahari Jumaat tadi. Di bawah ialah gambar Masjid Lama Tirana.

Masjid Lama Tirana Albania
Pemandangan Dalam Masjid Lama Tirana

Kami meneruskan perjalanan menghala ke Ohrid. Perjalanan kami dari Tirana ke sempadan Albania- Macedonia mengambil masa lebih kurang 3 jam. Kami sampai di bandar Ohrid, sebuah bandar di pinggiran Tasik Ohrid yang indah menjelang senja. Kami disambut oleh pemandu pelancung tempatan - Mr Ljupco Juzmeski, seorang pemandu pelancung Macedonia yang agak popular.

Bandar Ohrid adalah merupakan bandar indah ditepi tasik Ohrid. Ianya dihuni oleh masyarakat pelbagai agama - Kristian Katolik dan Ortodok, Islam dan Yahudi. Di Ohrid kami dibawa melawat bandar lama, kesan-kesan binaan Uthmaniah seperti masjidnya yang masih kukuh dan masih digunakan. Kami sempat solat Isyak berjemaah bersama dengan penduduk setempat yang kebanyakannya peniaga-peniaga muslim bandar Ohrid. Gambar-gambar di sekitar pekan Ohrid.

Kapal pesiaran di Tasik Ohrid Macedonia
Bandar Ohrid di waktu malam.

Macedonia sekarang mempunyai 2 juta penduduk. Islam hanyalah 30% di Macedonia yang majoriti diduduki oleh umat Kristian Orthodox. Sejarah Macedonia bermula seawal kurun ke 7 SM.

Alexandar the Great (Iskandar Zulkarnain) seorang penakluk empayar Macedonia dizaman sebelum masehi, dikatakan berasal dari macedonia. Alexander dikatakan telah menguasai bukan sahaja sebahgian besar eropah, utara Afrika, Iran (parsi) malah tentera mereka sampai ke India disebelah timur. Kisah dari AlQuran tentang Alexander (Iskandar Zulkarnain), menyatakan Iskandar Zulkarnain ialah Raja yang beriman telah bersama tenteranya telah berperang dan menguasai banyak wilayah dunia. Bila mereka sampai ke tempat paling timur, di mana matahari didapati turun kedalam tasik yang gelap, yang mana orang-orang disitu percakapan mereka hampir tidak difahami. Orang-orang disitu telah memohon Iskandar Zulkarnain membina tembok untuk melindungi mereka dari makhluk ganas yang memakan hampir segalanya yang ada dibumi. Makhluk yang diberi nama Yakjuj dan Makjuj (Gog dan Magog) dikatakan akan muncul lagi sekali diakhir zaman, apabila tembok yang dibina Iskandar Zulkarnain itu runtuh.

Macedonia diperintah Uthmaniyyah selama 500 tahun dikurun ke 15. Pada waktu itu, Skopje dan Monastir (Bitola) adalah ibukota kepada dua wilayah Uthmaniyyah yang berbeza (eyalets). Lembah Sungai Vardar iaitu kawasan macedonia hari ini diperintah Uthmaniyyah sehingga 1912.

Sepanjang sejarah, wilayah Macedonia sering menjadi rebutan diantara kuasa-kuasa besar tempatan - Bulgaria, Serbia, Uthmaniyyah dan juga Greece.

Semasa perang Balkan 1912, Macedonia ditawan Serbia, di tahun 1914-1915 ianya menjadi sebahgian Bulgaria dan ditahun 1929 selepas perang dunia I, menjadi sebahgian negara moden Yugoslavia

HARI KE 9 19/3: DARI OHRID KE BITOLA, MACEDONIA DAN TERUS KE KALAMBAKA, GREECE

Paginya dari Ohrid kami meneruskan perjalananan ke Bandar Bitola, bandar kedua terpenting di Macedonia selepas ibu negara Skopje. Perjalanan ke Bitola dari Ohrid mengambil masa lebih kurang dua jam. Dalam perjalanan kami dibawa melawat sebuah tasik yg pemandangan dikelilingi gunung-gunung bersalji dipinggiran tasik Ohrid. Sungguh Indah !!

Pemandangan Indah Gunung Salji di tepi Tasik Ohrid Macedonia
Pemandangan Indah Gunung Salji di tepi Tasik Ohrid Macedonia

Jam 11am kami sampai ke Bitola. Bandar ini tempat lahirnya Mustafa Kamal At-Taturk, dimana semasa sebelum perang dunia I, Macedonia berada dibawah pemerintahan Uthmaniyyah. Ramai pemimpin Macedonia masa itu, menjadi pemimpin empayar Uthmaniyyah. AttaTurk yang memenangi perang Galipolli semasa perang dunia I, yang masih mampu mempertahankan Turki diwaktu Turki berada disaat yang paling lemah dari dikuasai kuasa Barat. AttaTurk telah menjadi hero kepada bukan sahaja rakyat Turki tetapi juga rakyat Macedonia.

Di Bitola kami dibawa melawat bandar lama tersebut, kiri kanan ialah kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan. Pemandangan biasa bazaar di negara Balkan. Perkara yang istimewa tentang Bitola, terdapat beberapa buah binaan Uthmaniyyah termasuk dua buah Masjid yang besar dan indah yang telah runtuh disebabkan perang. Masjid-masjid ini sedang dipulihkan kembali dengan bantuan negara Turki.

Kami makan tengahari di Bitola. Dari Bitola kami bergerak keluar dari bandar tersebut, jam 3pm kearah selatan untuk memasuki negara Greece ke Kalambaka.

Sempadan Greece tidak jauh dari bandar Bitola. Menjelang jam 4 hari ke 9, kami sudah selamat memasuki Greece. Perjalanan masih lagi melalui kawasan pergunungan yang kadangkala diliputi salji, menjelang senja kami sampai ke bandar Kalambaka, daerah Meteora di Greece. Tour Guide tempatan, telahpun menunggu kami untuk membawa kami melawat persekitaran Kalambaka.

Kalambaka ialah kawasan Monastry - tempat tinggal Monk dan Nun. Suatu kehidupan pengabdian diri menjadi hamba kepada tuhan. Mereka yang mengabdikan diri dengan kehidupan sebegini ialah mereka yang membuang dunia, sebagaimana juga sami-sami budha, mereka banyak pantang larangnya. Di bawah ialah gambar Gunung Batu Kalambaka dan di sebelah kirinya ialah gambar salah satu Monastri yang masih aktif di hari ini.

Sebuah Monastri di atas Gunung Batu Kalambaka Greece
Di atas sebuah Gunung Batu Kalambaka Greece

Islam berbeza dalam konsep pengabdian diri kepada Allah swt. Islam mewajibkan kesemua umatnya untuk menjadi hamba kepada Allah (Abdullah) yang diwajibkan ibadah asas selepas bersaksi akan kebenaran Allah swt dan RasulAllah saw. Ibadah seperti solat, puasa, haji dan zakat diwajibkan sebagai tanda menifestasi hamba kepada Tuhannya. Manakala Islam tidak menuntut umatnya membuang dunia, mereka dituntut untuk menjadi Rahmatan Lil Alamin - sebagai Khalifah Allah di dunia ini, yang menjadi rahmat kepada alam dan setiap milik yang dikurniakan kepada kita dijadikan jambatan untuk mendapatkan pahala sebagai menafaat di akhirat.

Kita umat Islam dibenarkan Allah untuk memiliki harta, ilmu dan anak dan pahala yang berpanjangan ialah apabila harta, ilmu dan anak digunakan untuk kebaikan ummah !!

HARI KE 10 20/3: DARI KALAMBAKA GREECE KE ATHENS

Awal pagi selepas breakfast kami sekali lagi dibawa mengelilingi pergunungan batu Kalambaka dan melihat bagaimana binaan monastri dibuat di puncak gunung-gunung batu. Kemudian kami memulakan perjalanan ke Athens. Kami sampai ke Athens jam 5pm, hari sebelum. Selesai checkin, Kami diberikan waktu untuk membuat last minute shopping. Ada yang mengambil Metro underground untuk melawati tempat-tempat untuk shopping dan ada beberapa orang ikut saya ke Plaka. Plaka ialah kawasan kejiranan yang dibina di atas kawasan kediaman bandar purba Athens. Ia dikenali sebagai "Neighborhood of the Gods" kerana berdekatan dengan Acropolis dan banyak tapak arkeologinya.

Acropolis Athens Greece
Acropolis Athens Greece
The theatre of Dionysus Acropolis Athens
Olympian Temple Athens

HARI KE 11 21/3: ATHENS, ISTANBUL DAN KUALA LUMPUR

Keesokan pagi-pagi jam 8am kami dibawa melawat ke beberapa tempat menarik disekitar Athens - Olympian, Syntagma Square, Parliament House, Stadium dan kemuncaknya Acropolis. Jam 11am kami berkumpul untuk bertolak balik ke Airport. Flight Turkish Airlines kami jam 2.30pm akan transit di Istanbul dan dijangka sampai ke KLIA jam 12am 22/3. Begitulah berakhirnya KEMBARA ILMU DAN AMAL KE BALKAN&GREECE dari 10-22 MAC 2016. Alhamdulillah, kami semua masih selamat dan sihat walaupun banyak hari tak jumpa nasi !!

Traveria.Biz - Pakej-pakej Pelancongan bersama Konsortium Agensi Pelancongan
Kenangan Balkan dan Greece 12H10M, Mac 2016 78

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *